Press "Enter" to skip to content

Malaysia kecam pencerobohan Israel di Masjid Al Aqsa 

PUTRAJAYA – Malaysia mengecam tindakan pendatang ekstremis Israel yang menceroboh Masjid Al Aqsa pada 24 dan 25 September. 

Menerusi satu kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, pencerobohan tersebut adalah dirancang dan disengajakan oleh rejim Israel.

Kata kenyataan itu, tindakan berkenaan  jelas bertujuan untuk mencabar status quo undang-undang dan politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain  menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi dan pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata kenyataan itu.

Malaysia berpegang teguh bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *