Press "Enter" to skip to content

Malaysia Rangka Bandar Wakaf Berskala Besar di Gaza, Perteguh Iltizam Kemanusiaan ASEAN

PUTRAJAYA – Sebuah inisiatif berimpak tinggi di bawah lindungan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bakal menobatkan Malaysia sebagai negara ASEAN pertama yang memajukan Bandar Wakaf di Gaza, Palestin.

Projek yang dirancang untuk dilancar selepas Ramadan ini seiring dengan hasrat Malaysia MADANI yang menekankan nilai keprihatinan dan kesaksamaan sejagat.

Langkah ini tidak hanya menonjolkan sokongan Malaysia terhadap Palestin, malah membuka lembaran baharu dalam sejarah bantuan kemanusiaan serantau.

Dengan kos dianggarkan RM120 juta serta tanah wakaf berkeluasan 87 ekar, ia dijangka menjadi solusi pembangunan mapan kepada penduduk Gaza yang terkesan akibat peperangan berpanjangan.

Struktur & Peranan Kerajaan Negeri

Bandar Wakaf Malaysia di Gaza direka secara terperinci bagi menyediakan keperluan asas dan infrastruktur sosial, merangkumi:

  • 14 blok apartmen wakaf untuk setiap negeri di Malaysia.
  • Masjid Berkembar Shah Alam yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, berserta menara tangki air dan unit kediaman.
  • Sekolah Malaysia ditubuhkan oleh NGO tempatan, Cinta Gaza Malaysia (CGM).
  • Kemudahan Kesihatan, Taman Rekreasi & 56 Unit Perniagaan di bawah skim Mikro-Kredit Khardul Hasan, memacu pembangunan ekonomi setempat.
  • Malaysia Central Kitchen hasil sumbangan JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), sebagai dapur komuniti untuk menyediakan makanan harian.

Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang turut sepakat dalam usaha mewakafkan dana serta sokongan bagi menjayakan projek ini. Tidak ketinggalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengambil langkah proaktif memberikan komitmen.

Sokongan Sultan Selangor & NGO

DYMM Sultan Selangor sebelum ini telah memperkenankan penubuhan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai usaha menggiatkan lagi pengumpulan dana.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia yang juga menjadi penggerak utama projek, Datuk Sani Araby, pembangunan komprehensif ini merupakan langkah paling signifikan Malaysia di Palestin setakat ini.

“Selain bantuan kecemasan, kami ingin membina prasarana yang mampu bertahan lama serta memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Gaza. Kesepaduan MAPIM, CGM dan Gagasan MyAqsa Defender yang pernah membina 10 buah masjid sebelum ini memperlihatkan komitmen sebenar kita,” tegas beliau.

Setakat ini, sumbangan awal mencecah RM40 juta. Datuk Sani optimis jumlah berkenaan akan terus meningkat dengan adanya dukungan Perdana Menteri, barisan menteri dan kerjasama kerajaan negeri.

Pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung selepas Ramadan diharap mencipta mercu tanda baharu dalam hubungan Malaysia-Palestin, sesuai dengan aspirasi kemanusiaan sejagat.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *