Press "Enter" to skip to content

Malaysia, UAE bincang perkukuh hubungan ekonomi 

PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Luar UAE, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi menzahirkan penghargaan terhadap hubungan kukuh antara UAE dan Malaysia. 

Beliau berkata, pihaknya turut mengesahkan komitmen UAE untuk meningkatkan kerjasama perdagangan sambil mewujudkan peluang perniagaan untuk kedua-dua pihak.

Berkata demikian sewaktu berlangsungnya perbincangan dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Abu Dhabi baru-baru ini.

Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), mesyuarat berkenaan merupakan antara jadual lawatan delegasi pegawai perdagangan terkemuka Malaysia ke UAE.

Berdasarkan laporan media berkenaan, kedua-dua pihak juga mengkaji perkembangan rundingan ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif UAE-Malaysia (CEPA), yang dilancarkan semasa lawatan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan ke Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Dalam pada itu, Dr Al Zeyoudi berkata, Malaysia merupakan rakan kongsi yang dihormati UAE kerana  berkongsi visi untuk memanfaatkan perdagangan global untuk pertumbuhan pesat dan kepelbagaian ekonomi.

“Pertemuan dengan delegasi Malaysia memberi peluang penting untuk meneroka sektor yang mempunyai potensi maksimum bagi sektor swasta masing-masing, dan untuk membina konsensus mengenai isu yang memberi kesan kepada perdagangan global menjelang MC13 di Abu Dhabi pada Februari tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul memaklumkan, Malaysia mahu mengukuhkan hubungan dengan UAE sebagai rakan perdagangan strategik untuk negara.

Menurutnya, UAE yang terletak di persimpangan antara Timur dan Barat turut menawarkan peluang besar untuk pengeksport berkembang ke pasaran global.

“Sambil menghargai komitmen UAE untuk memastikan kemampanan, Malaysia berharap dapat menjadi rakan kongsi strategik bersama UAE dalam bidang ini bagi supaya ganjaran jangka panjang diperoleh,” katanya.

Di Asia Barat, UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan menyumbang sebanyak 32 peratus daripada jumlah keseluruhannya perdagangan dengan negara Arab. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *