KUALA LUMPUR – Persidangan Alamat Nasional 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur selama dua hari bermula 16 Julai membuka lembaran baharu dalam usaha Malaysia menyusun sistem pengalamatan negara secara menyeluruh.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 17 Julai, menandakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh dasar strategik digital menerusi pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).
Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu disertai lebih 500 peserta terdiri daripada wakil kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil, termasuk delegasi antarabangsa dari United Kingdom dan Australia yang berkongsi pengalaman membangunkan sistem pengalamatan negara mereka.
Dalam ucapannya, Datuk Fahmi menegaskan bahawa Malaysia kini berdepan cabaran besar apabila tiada satu entiti yang menyimpan maklumat alamat secara menyeluruh dan berpusat, meskipun negara mempunyai lebih 12 juta alamat.
Ketiadaan pangkalan data yang seragam ini menjejaskan pelbagai aspek penting seperti penghantaran, perancangan utiliti dan tindak balas kecemasan, sekali gus menghalang pertumbuhan sektor digital termasuk e-dagang dan logistik.
Beliau menjelaskan, NAS yang sedang dibangunkan akan menjadi sistem autoritatif, berpandukan piawaian MS2039 Jabatan Standard Malaysia, dan bakal menyatukan semua alamat dalam satu sistem berpusat dan sahih.
Setiap alamat dalam sistem NAS akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik, menjadikan penyampaian perkhidmatan lebih tepat dan cekap.

Menerusi pembentangan teknikal, sesi panel pakar serta perbincangan interaktif semasa persidangan, pendekatan menyeluruh terhadap tadbir urus pengalamatan negara dibincangkan, termasuk peranan teknologi pintar dalam mendukung sistem NAS.
Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat (MED4IRN) pada 24 Jun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri telah bersetuju secara dasar terhadap pelaksanaan NAS.
Menurut beliau, NAS bukan hanya satu usaha pembaikan pentadbiran alamat tetapi merupakan pemacu utama ekonomi digital negara serta sebahagian daripada rangka tindakan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi berteraskan pendigitalan.
Inisiatif NAS ini, katanya, juga merupakan “Needle Mover” di bawah Dasar 4IR Negara yang akan menyokong pembangunan bandar pintar, sistem pengangkutan awam bersepadu serta automasi pelbagai perkhidmatan berasaskan lokasi.
Bagi rakyat, pelaksanaan NAS memberi impak besar terutamanya dalam aspek keselamatan dan kesejahteraan.
Beliau memberi contoh bagaimana sistem ini mampu mempercepatkan respon kecemasan semasa banjir atau kebakaran kerana lokasi dapat dikenal pasti secara tepat dan pantas.
Selain itu, NAS juga akan membantu sektor e-dagang dan kurier mengurangkan kesilapan penghantaran dengan penggunaan koordinat lokasi yang tepat.
Melalui dapatan awal kajian pelaksanaan NAS, sistem ini dijangka menjana impak ekonomi sebanyak RM2 bilion dan mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pelan Anjakan NAS yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat turut diumumkan oleh Datuk Fahmi.
Ia bakal dimulakan dengan projek perintis di beberapa lokasi strategik bagi menguji keberkesanan model NAS dari segi teknikal, tadbir urus, integrasi data dan pentadbiran oleh agensi-agensi berkaitan.
Beliau berharap semua pihak termasuk PBT, syarikat utiliti, syarikat logistik dan rakyat memberi kerjasama penuh agar sistem ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam nada optimis, beliau menegaskan bahawa NAS bukan sekadar projek teknologi semata-mata, tetapi asas kepada transformasi sistem penyampaian awam dan pengukuhan ekonomi digital negara.
Beberapa peserta persidangan turut memberikan reaksi terhadap inisiatif tersebut.
“Saya rasa pelaksanaan NAS ini memang penting, sebab selama ini banyak kajian yang saya buat mengalami kesukaran mendapatkan alamat yang sahih. Jika semua data dikemaskini dan diseragamkan, ia akan sangat membantu dunia akademik,” kata Nurul Izzati Mohd Zaki, 33, pensyarah dari Universiti Teknologi MARA.
Seorang pekerja logistik, Mohd Hafiz Ramlan, 42, pula menyatakan bahawa NAS boleh mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan penghantaran. “Kadang-kadang kami terpaksa berpusing-pusing kerana alamat yang tidak lengkap. Dengan sistem ini, kerja jadi lebih mudah dan cepat.”
Noraini Musa, 51, seorang suri rumah dari Cheras berkongsi pandangannya, “Kalau berlaku kecemasan macam kebakaran atau ambulans diperlukan, alamat yang betul dan tepat boleh selamatkan nyawa. Ini bukan isu teknologi semata-mata, tapi keselamatan.”
“Saya sendiri banyak kali gagal hantar barang sebab alamat tak jumpa dalam sistem. Kadang-kadang ada rumah tak ada nombor langsung. Kalau ada NAS ni, kerja kami sebagai penghantar kurier akan jauh lebih mudah,” ujar Muhammad Irfan Alias, 27, penghantar kurier di Lembah Klang.
Wakil syarikat teknologi dari Petaling Jaya, Leong Tze Wei, 39, menyatakan, “Kami melihat peluang besar untuk integrasi NAS dalam produk digital kami. Ia akan tingkatkan kecekapan analitik lokasi dan pelaporan dalam masa nyata.”
Menurut Siti Balkis Hassan, 30, pegawai IT di sebuah agensi kerajaan, “Banyak aplikasi perkhidmatan kerajaan boleh dibangunkan atas asas NAS, terutama sekali untuk urusan kebajikan, aduan awam dan semakan status perkhidmatan.”
Persidangan ini turut menyaksikan pameran interaktif dan sesi jaringan antara agensi, membuktikan komitmen kerajaan untuk melibatkan semua pihak dalam membangunkan sistem pengalamatan negara yang seragam dan berkesan.
Dengan pelaksanaan NAS, Malaysia tidak lagi perlu bergantung kepada teknologi luar sepenuhnya, sebaliknya membina asas data alamat negara sendiri yang kukuh, tepat dan bersepadu.
Pada akhir ucapannya, Datuk Fahmi menyeru semua pihak menjadikan persidangan ini sebagai pemangkin kepada pelaksanaan NAS secara menyeluruh, demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Beliau turut merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, disambut tepukan gemuruh para hadirin sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif penting negara ini.
Ikuti Kami Di: