Press "Enter" to skip to content

New Zealand zahir minat teroka masyarakat Orang Asli Malaysia

PUTRAJAYA – New Zealand berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Menurut Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro, pihaknya mahu menjalinkan kerjasama menerusi pelbagai bidang meliputi aspek seperti kesihatan, pendidikan, pelancongan, dan kepelbagaian bio.

“Saya berminat untuk melawat ke Gombak minggu ini, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kehidupan Orang Asli dan bagaimana kita boleh bekerjasama dengan lebih erat lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di majlis jamuan negara yang dihoskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada Isnin. 

Mengulas lanjut, Kiro memberitahu, kaitan Orang Asli antara kedua-dua negara memberikan keistimewaan kepada hubungan New Zealand dan Malaysia.

Jelasnya, terdapat persamaan budaya yang kukuh antara penduduk Borneo antaranya tradisi, penceritaan, seni dan bahasa. 

Pada masa sama, beliau memberitahu New Zealand dan Malaysia akan turut meningkatkan kerjasama dalam mengharungi pelbagai cabaran seperti jenayah terancang rentas negara, memerangi keganasan dan membanteras ekstremisme ganas.

“Mengenang kembali insiden menyayat hati berkaitan serangan pengganas Christchurch pada 2019 yang turut mengorbankan rakyat Malaysia. 

“Kita dapat lihat sokongan kuat daripada Malaysia, baik daripada kerajaan mahupun rakyat. Terima kasih kerana berdiri di sisi kami semasa kami benar-benar memerlukan, dan kerjasama berterusan untuk membina komuniti yang selamat,” katanya.

New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (AS$1.42 bilion) setakat Jun lalu. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *