Press "Enter" to skip to content

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel langkah tepat dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar

KUALA LUMPUR – Penyasaran subsidi diesel disifatkan sebagai langkah tepat pastikan bantuan disampaikan dengan berkesan kepada golongan sasar sekali gus dapat mengurangkan ketirisan sumber negara.

Antara yang menerima manfaat daripada pelaksanaan itu adalah pemilik kenderaan persendirian yang rata-ratanya menggunakan pikap dalam menjalankan urusan harian perniagaan secara kecil-kecilan.

Di KEDAH, pengusaha tanaman durian dan manggis, Azhar Ahmad, 64, berkata beliau menggunakan pikap untuk mengangkut hasil buah-buahan dari kebunnya yang terletak di daerah Yan dan kadangkala perlu membuat lebih lapan kali perjalanan pergi dan balik.

“Saya kerja sendiri, jadi duit minyak dan keperluan lain semuanya perlu tanggung sendiri. Harga diesel pula mahal jika dibandingkan sebelum ini tetapi apabila kerajaan buat penyasaran subsidi dan beri bantuan (BUDI MADANI), ia dapat meringankan sedikit bebanan kos kewangan saya,” katanya kepada Bernama.

Bagi Tan Guan Cheong, 60, yang menjalankan perniagaan menjual sabun baju dan dobi layan diri di Jitra berkata beliau menggunakan pikap untuk menghantar berpuluh botol sabun yang dipesan pelanggan dari serata daerah dan ini memerlukan penggunaan diesel yang tinggi.

“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan perbelanjaan peniaga kecil seperti  saya yang kerap menggunakan diesel.

“Setiap hari saya perlu hantar bekalan kepada pelanggan menggunakan pikap kerana ini sahaja kenderaan besar yang ada dan mampu membawa barangan dalam kuantiti banyak,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan  mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam ini.

Di bawah BUDI MADANI, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan diberikan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan BUDI MADANI yang pertama bermula esok.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *