Press "Enter" to skip to content

Peningkatan nisbah DDI bukti keyakinan syarikat, perniagaan tempatan bertambah – Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 59.7 peratus dari segi pelaburan langsung domestik (DDI) dari tahun ke tahun.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertambahan nisbah DDI itu secara tidak langsung mencerminkan keyakinan syarikat serta perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan telah meningkat.

“Pada tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek diluluskan pelbagai sektor ekonomi seperti perkhidmatan, perkilangan dan utama di Malaysia yang akan menjana 140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, daripada komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga telah menetapkan DDI sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung (FDI) dan DDI bagi merangsang pembangungan lestari dan seimbang di seluruh negara.

“Kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik.

“Ia bertujuan untuk menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitk yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI.

Jelas beliau, ini kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara.

Oleh yang demikian, Anwar memaklumkan bahawa usaha meningkatkan DDI perlu dilakukan secara lebih menyeluruh.

“Jadi pada Mesyuarat Pelaburan Negara (MPN) pada hari ini, telah menekankan salah satu mesej Ekonomi MADANI yang diumumkan pada 27 Julai lalu iaitu pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

“Secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal serta membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga dapat membantu menarik pelabur asing ke Malaysia,” ujarnya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *