Press "Enter" to skip to content

Perkasa skuad Waja libatkan ketua masyarakat, ketua kaum – Nancy

PUTRAJAYA – Dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keganasan wanita, semua ketua masyarakat dan kaum akan terlibat dalam Skuad Wanita Anti Jenayah (Waja). 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut dilakukan adalah untuk memastikan pemerkasaan skuad berkenaan. 

Menurut Nancy, badan bukan kerajaan (NGO) akan bersama-sama menganggotai Waja. 

“Skuad yang diperkasakan ini akan menambah keberkesanan usaha bagi membanteras jenayah keganasan terhadap wanita, apabila pembabitan pemimpin ini dapat mewujudkan ‘withdrawal symptom’ dalam kalangan pelaku.

“Ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum sering dirujuk dalam kes-kes pertelingkahan keluarga, yang sekali gus memerlukan mereka turut dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan dalam menangani isu keganasan terhadap wanita,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas merasmikan Program Semarak Skuad Waja 2023 Negeri Sarawak pada Jumaat. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan adalah penting untuk pendedahan panduan diberikan kepada ketua masyarakat agar dapat merujuk semula kes-kes keganasan lalu. 

“Kali ini kita buat ‘buku panduan’ yang dilengkapi dengan nombor-nombor telefon penting bagi menangani kes-kes tertentu melibatkan masyarakat di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Pada masa sama, Nancy memberitahu, sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan pada 2020 dan kini meningkat kepada 7,468 kes pada 2021 manakala tahun ini sehingga Ogos lalu sebanyak 3,640 kes telah dicatatkan.

Nancy berkata, antara tahun 2020 sehingga Ogos lalu, Sarawak mencatatkan kes keganasan rumah tangga ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kedah dengan catatan 2,192 kes. 

Bagaimanapun, beliau menjelaskan angka berkenaan mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenarnya.

“Sarawak ini luas, bagaimanapun dari segi jumlah penduduk, angkanya tidak besar. Dari segi akses untuk pergi buat laporan agak kurang. Maka mungkin itu juga (angka itu) tidak menunjukkan data sebenarnya,” katanya.

Tambah beliau lagi, disebabkan faktor itu kementerian mahu melibatkan ketua-ketua masyarakat dan kaum dalam menangani keganasan rumah tangga khususnya dalam kawasan mereka.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *