Press "Enter" to skip to content

Perlesenan Media Sosial Mampu Melindungi Kumpulan Rentan Terutama Kanak-Kanak yang Terdedah Dengan Hantaran Unsur Negatif

PUTRAJAYA – Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mampu mengawal algoritma dalam melindungi kumpulan rentan terutama kanak-kanak.

Penganalisis keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kumpulan rentan seperti kanak-kanak terdedah dengan cabaran ekosistem media digital pada hari ini seperti penyebaran isu radikal, ekstrem yang boleh menggugat pencapaian perpaduan dalam negara.

“Ini merupakan langkah yang baik kerana banyak negara luar juga mempunyai perundangan yang eksklusif terhadap pengendali media sosial mereka seperti di Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain.

“Mereka juga turut mengambil langkah ekstrem dengan menetapkan mana-mana individu yang ingin membuka akaun media sosial haruslah berusia 16 tahun dan ke atas,” katanya ketika mengulas penguatkuasaan perlesenan media sosial oleh MCMC pada 1 Januari lalu.

Tambahnya, algoritma media sosial yang membolehkan hantaran negatif tular dengan mudah menjadikan kumpulan rentan terutama kanak-kanak sebagai sasaran utama.

Oleh itu, pelesenan media sosial mampu meningkatkan tahap akauntabiliti pengendali media sosial dalam menangani isu hantaran negatif.

“Ini juga supaya mereka boleh membantu bekerjasama dalam mengawal perkara yang berhubungan dengan kesalahan jenayah, kesalahan sosial yang berkaitan dengan perilaku ataupun tatakelola dalam negara masing-masing termasuk dalam Malaysia.

“Negara sememangnya perlu mempunyai satu kuasa dominan dalam memastikan platform media sosial akur dengan peraturan demi menjamin keselamatan negara termasuk menjaga ketamadunan perilaku sosial atau identiti negara terus terpelihara,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat bahawa masyarakat harus main peranan dalam mengawal algoritma media sosial sebagai usaha memastikan kandungan media sosial yang lebih selamat khususnya kepada kanak-kanak.

Sebelum ini, pada 1 Januari 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.

Antara platform tesebut ialah WeChat, Tiktok, Telegram, Instagram, Facebook dan Whatsapp. 

MCMC turut mendedahkan X (terdahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google iaitu pengendali YouTube, masih lagi belum mengemukakan permohonan mereka untuk mendapatkan lesen.

Bagaimanapun, MCMC telah menyatakan bahawa Youtube dan semua penyedia platform lain perlu mematuhi peraturan yang sudah dikuasa kuasa.

Sekiranya mana-mana penyedia perkhidmatan beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 126 AKM 1998.

Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima (5) tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan tersebut.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *