Press "Enter" to skip to content

Peruntukan tambahan RM30 juta naik taraf Lebuhraya Gerik-Jeli – Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM30 juta bagi menambah baik laluan Lebuhraya Timur Barat di Gerik-Jeli. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan bernilai RM75.676 juta bagi projek menaik taraf jalan yang menghubungkan antara Perak dan Kelantan.

“Jadi, hari ini untuk jalan-jalan ini, walaupun permintaan (kos keseluruhan yang diperlukan) itu banyak, tidak mengapa…. nanti saya akan kaji dalam Belanjawan Madani yang kedua pada Oktober. 

“Akan tetapi, hari ni saya boleh lulus tambahan (peruntukan) RM30 juta,” katanya.

Setakat Jun, sebanyak RM44.728 juta telah diperuntukkan kerajaan bagi kerja penyelenggaraan turapan berkala. 

Bakinya iaitu RM948,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala yang bukan melibatkan turapan jalan.

Sebelum ini media melaporkan, penggantian struktur laluan Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak-Jeli, Kelantan bernilai RM80 juta antara perkara yang dibincangkan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan sumbangan sagu hati RM1,000 kepada setiap 87 keluarga bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan laluan itu dahulu, termasuk tiga yang terkorban tahun 1974.

“Insentif itu bagi mengenang jasa yang telah dicurahkan kesemua bekas kakitangan JKR terbabit dalam menyiapkan laluan sepanjang 123 kilometer (km) itu.

“Saya cari peruntukan bagi mengenang jasa mereka ini atas kerja-kerja dan khidmat mereka selama ini. Jadi saya luluskan sagu hati kepada tiap-tiap keluarga bernilai RM1,000,” katanya lagi.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *