Press "Enter" to skip to content

Pesara Dapat Suntikan Kewangan Melalui Bantuan Khas Kewangan 2025, Kos Perubatan dan Sara Hidup Terbela

KUALA LUMPUR – Golongan pesara kerajaan yang sebelum ini sering bimbang dengan peningkatan kos sara hidup, boleh menarik nafas lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2025 yang turut mengambil kira keperluan warga emas yang telah berkhidmat dalam sektor awam.

Kesedaran kerajaan terhadap isu kesihatan dan kos rawatan yang semakin mahal diyakini akan memberi impak positif kepada kualiti hidup golongan berumur.

Melihat kepada trend beberapa tahun lalu, kebanyakan pesara menghadapi cabaran dalam menyesuaikan perbelanjaan bulanan mereka.

Walaupun pesara kerajaan menerima pencen, kenaikan harga barangan runcit, utiliti, dan perkhidmatan perubatan kadangkala menyulitkan keadaan mereka.

Oleh itu, BKK 2025 dilihat seolah-olah ‘talian hayat’ untuk mengurangkan kerisauan, terutamanya bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada pencen bulanan.

Seorang pesara jurutera awam, Encik Shahrul Azmi, 65, menzahirkan rasa syukur kerana bantuan ini tepat pada waktunya.

Menurut beliau, “saya dan isteri sering ke hospital untuk pemeriksaan susulan, dan ada beberapa jenis ubat yang tidak ditanggung sepenuhnya. Dengan BKK ini, kami boleh simpan sebahagian untuk kos rawatan tambahan supaya tidak perlu bergantung kepada simpanan peribadi yang semakin susut.”

Bagi Puan Wan Mahani, 60, seorang bekas guru yang bersara sejak 2018, bantuan ini juga membantu memudahkan urusan keluarga.

“Walaupun saya pesara, anak-anak saya masih menuntut di universiti, dan sebahagian yuran mereka masih saya tanggung. Apabila ada bantuan tambahan begini, sekurang-kurangnya saya boleh sediakan bajet lebih untuk keperluan mereka,” katanya dengan nada gembira.

Dengan keperhatinan kerajaan terhadap isu-isu semasa, ramai pesara berharap agar BKK 2025 ini menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif yang menjamin kesejahteraan warga emas.

Mereka juga berpendapat bahawa kerjasama antara agensi kerajaan, badan kebajikan, dan pihak hospital amat penting untuk memastikan setiap pesara memperoleh akses perubatan dan keperluan asas yang mencukupi tanpa menanggung beban kos yang melampau.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *