Press "Enter" to skip to content

PM Anwar Tegas Nadma Perkukuh Kesepaduan Persekutuan-Negeri Tangani Banjir di Sabah dan Sarawak

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu memperkukuh kesepaduan jentera persekutuan dan negeri dalam menangani situasi banjir yang melanda Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, aspek utama yang perlu diberi perhatian sekarang ialah kebajikan mangsa banjir dan menjamin keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

“Saya amat dukacita dengan laporan berhubung keadaan banjir yang kian meruncing di Sabah dan Sarawak. Saya menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada ribuan mangsa yang terkesan.

“Semoga semua yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menempuhi keadaan sukar ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri telah diarahkan untuk mengambil tindakan wajar bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat banjir dapat menduduki peperiksaan dalam persekitaran yang selamat dan selesa.

Dalam pada itu, Anwar turut menambah bahawa Skuad Ihsan Madani akan dikerah membantu mangsa di pusat pemindahan dan bersiap siaga bagi operasi pascabanjir.

Berdasarkan portal Pusat Arahan Bencana Negara (NDCC), sehingga jam 4 petang hari ini, seramai 10,621 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan dengan pecahan 6,692 di Sarawak dan 3,929 di Sabah.

Terkini, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan berpotensi melanda bahagian pantai barat Sabah dalam tempoh terdekat, manakala beberapa kawasan di Sarawak seperti Bintulu dan Miri diingatkan supaya berwaspada dengan fenomena air pasang.

Anggota keselamatan dan petugas kesihatan turut dipertingkatkan di pusat pemindahan berikutan risiko jangkitan penyakit air dan kekurangan bekalan asas di beberapa lokasi.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *