Press "Enter" to skip to content

PM keluar arahan kepada universiti awam untuk tidak menolak kemasukan pelajar miskin, tidak mampu bayar yuran pengajian

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan kepada semua universiti awam di negara ini untuk tidak menolak mana-mana kemasukan pelajar miskin yang tidak mampu membayar yuran pengajian.

Memaklumkan perkara berkenaan pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini pada Selasa, Anwar berkata, arahan sedemikian, yang pertama kali dalam sejarah negara, adalah untuk memastikan para pelajar terutama kepada yang miskin mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama dan kementerian atau jabatan harus selesaikan.

“Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.

Ketika berucap, Anwar berkata, beliau dimaklumkan terdapat pelajar miskin dari Ampang dan Tambun telah menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

Beliau turut berkata, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek pengajian masing-masing.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan bermula Januari depan, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500.

Jumlah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *