Press "Enter" to skip to content

Reformasi struktur ekonomi meliputi lima bidang akan dipercepatkan – Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Kerajaan berhasrat untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi bagi mempercepat reformasi struktur ekonomi yang meliputi lima bidang. 

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara bidang yang akan diberi keutamaan ialah industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, industri pertanian dan asas tani serta industri nadir bumi.

Katanya, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) telah mengenal pasti sebanyak 10 projek perdana yang strategik dan berimpak tinggi dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pengurangan 10,000 gigagram karbon dioksida setara setahun. 

“Dasar Mineral Negara baharu akan turut dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawapan.

“Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan,” katanya.

Oleh yang demikian, kerajaan akan turut membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber selain menjamin pulangan maksimum untuk Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh perihal pelancongan, menurutnya kerajaan yakin industri tersebut yang terjejas teruk susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sewaktu pandemik COVID-19, akan kembali kukuh.

“Kerajaan akan menyegerakan proses pemulihan industri pelancongan dengan menambah baik rangka kerja kawal selia, menggalakkan pendigitalan dan mempromosikan pelancongan mampan yang berasaskan alam semula jadi.

“Pemulihan ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan ketibaan 9.2 juta pelancong pada suku kedua 2023 dan dijangka mencapai jumlah sekurang-kurangnya 18 juta pelancong pada (keseluruhan) tahun ini,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *