Press "Enter" to skip to content

RMK12: Kerajaan fokus menuju negara berpendapatan tinggi

PUTRAJAYA – Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) dengan tema ‘Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi’ adalah bukti kepada kesungguhan kerajaan dalam memberi keutamaan kepada memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 17 anjakan dan 71 inisiatif utama telah diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara disasarkan tersebut. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI.

“Bagi memberi gambaran lebih jelas, pembentangan ini akan dicerakin melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut tiga tumpuan utama. 

“Kerajaan telah menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberi tumpuan kepada dua perkara teras iaitu memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran,”

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025 di Dewan Rakyat pada Isnin. 

Mengulas lanjut, Anwar turut menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai destinasi pilihan utama kalangan pelabur dengan memperkukuh daya saing.

Beliau berkata, perkara itu akan dilakukan menerusi pelaksanaan langkah utama dengan meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah. 

Jelasnya, ia secara langsung akan merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang secara bersinergi akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

“Pelaburan swasta disasarkan berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM300 bilion setahun dalam tempoh akhir RMK12,” katanya

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *