Press "Enter" to skip to content

Salahuddin selamat jalani pembedahan

Salahuddin Ayub dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas mengadu tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya.

ALOR SETAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub yang mengalami pendarahan otak, selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata beliau dimaklumkan oleh pengawal pengiring Salahuddin bahawa timbalan presiden Amanah itu dikeluarkan dari dewan bedah dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pemantauan seterusnya.

“Menteri telah selamat menjalani pembedahan pagi tadi. Beliau dimasukkan ke bilik pembedahan sekitar 3.30 pagi dari wad kecemasan.

“Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung, tapi saya dimaklumkan pembedahan berjaya oleh pengawal pengiring beliau sekitar 8 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mahfuz berkata, Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB, kira-kira 10 malam tadi selepas mengadu tidak sihat ketika berada di hotel penginapannya.

“Beliau sepatutnya menghadiri program ceramah dengan saya, tapi tidak hadir selepas berasa tidak sihat dan kemudian dikejarkan ke wad kecemasan. Program beliau juga agak padat semalam, mungkin beliau juga keletihan,” katanya.

Terdahulu, setiausaha akhbar kepada Salahuddin, Syakirin Husnal dalam kenyataan memaklumkan menteri berkenaan dikejarkan ke wad kecemasan kira-kira 10.15 malam tadi dan mendapat rawatan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Ahli Parlimen Pulai itu kemudian disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Semalam, Salahuddin menghadiri beberapa program di negeri ini antaranya majlis perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara dan Langkawi borong edar serta majlis perasmian jelajah Jualan Rahmah Kedah dan jelajah townhall bersama mahasiswa Universiti Utara Malaysia.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *