Press "Enter" to skip to content

Saya tidak akan gentar dengan sebarang ugutan kerana ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin – Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam Selasa mendedahkan bahawa beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Anwar berkata selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Tambah Anwar, sebagai negara berdaulat, Malaysia akan terus mempertahankan kebebasan negara dan jmemperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.

“Saya terima banyak ugutan… dan saya ingin sebut, kamu salah pilih orang.

“Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan sebegitu. Bagi kita lawan tetap lawan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam Selasa.

Sementara itu, Anwar turut mengkritik sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.

Anwar berkata sokongan Amerika Syarikat dan Eropah, membuatkan Israel menjadi terlalu angkuh dan seperti satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan bayi secara berleluasa dan ketika hospital dan sekolah musnah dibom pihak Israel. 

“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam.

“Kita boleh lihat apabila Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tinggi yang diberikan negara-negara Arab seperti Qatar, Bahrain dan Mesir kepada Malaysia, atas peranan dimainkan dalam mengangkat isu konflik Palestin-Israel.

Anwar berkata bagaimanapun kebanyakan pemimpin negara Islam yang beliau temui baru-baru ini, mengakui konflik Palestin ialah satu isu yang sukar ditangani.

Perdana Menteri berkata perkara ini berpunca daripada sikap sombong Israel yang meraih sokongan kuat dari negara Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

“Masa depan mereka sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza. Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini kerana kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.

“Kita yakin dengan pertolongan Allah, namun apa yang penting kita perlu terus beri semangat dan apa jua sokongan untuk kebebasan rakyat Palestin,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *