Press "Enter" to skip to content

Sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka di 11 lebuh raya dilaksana hari ini – Nanta

PUTRAJAYA – Sistem kutipan tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) dengan menggunakan kad debit atau kad kredit secara rasminya dilaksanakan pada Jumaat. 

Pelaksanaan SPT itu melibatkan 11 lebuhraya antaranya Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE).

Selain itu, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Terowong SMART, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE).

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pelaksanaan tersebut dibuat adalah untuk membolehkan orang ramai mempunyai kaedah alternatif pembayaran selain  Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Objektif kita adalah untuk mudahkan pengguna membuat pilihan sebab sebelum ini hanya ada satu dua sistem sahaja dan mungkin adakalanya kad yang kita ada baki tidak mencukupi.

“Jadi sekarang pengguna ada pilihan lain untuk menggunakan SPT, ini juga adalah langkah awal dalam melaksanakan aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) kelak,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media tempatan selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol SPT secara rasmi di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi hari ini.

Tambah Nanta lagi, 12 lebuh raya telah bersetuju melaksanakan sistem SPT setakat ini, namun pelaksanaan SPT di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dijangka hanya akan bermula hujung tahun 2023 bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi. 

“Perbincangan berterusan sentiasa diadakan dalam usaha memperluaskan pelaksanaan sistem SPT itu di kebanyakan lebuh raya yang lain,” katanya. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *