1 minit bacaan
06/08/2025

SKMM Lancar Siasatan Ke Atas Penafian Muhyiddin Isu Hak Warga Asing Berkaitan Subsidi RON95

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan terhadap kenyataan penafian Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung dakwaan bahawa beliau mempertahankan hak warga asing dalam isu subsidi bersasar RON95.

Menurut kenyataan rasmi SKMM pada Rabu, 6 Ogos, siasatan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada yang berkaitan.

“SKMM telah mengambil maklum kenyataan media Pejabat Perdana Menteri yang meminta agar satu siasatan dijalankan terhadap dakwaan yang telah dinafikan oleh Ahli Parlimen Pagoh,” kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan sama, SKMM turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan arahan kepada SKMM supaya menyiasat kenyataan penafian berkenaan, selaras dengan prinsip kerajaan dalam menjunjung ketelusan dan akauntabiliti.

Dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat pada Selasa, 5 Ogos, Anwar memaklumkan bahawa beliau menerima laporan mengenai seorang Ahli Parlimen dari blok pembangkang yang didakwa mempertahankan hak warga asing untuk menikmati manfaat daripada rasionalisasi subsidi.

Susulan dakwaan tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri tampil menafikan tuduhan itu menerusi satu hantaran di media sosial. Beliau menegaskan bahawa tidak pernah sama sekali mengeluarkan kenyataan yang bertujuan mempertahankan hak warga asing dalam pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

Muhyiddin turut menekankan bahawa Perikatan Nasional sentiasa konsisten dalam pendirian bahawa manfaat subsidi seharusnya diutamakan kepada rakyat Malaysia.