KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion setahun kepada kerajaan.
Beliau menegaskan setiap hasil penjimatan itu akan dimanfaatkan bagi menambah peruntukan untuk mengurus tekanan kos sara hidup serta membangunkan infrastruktur berkualiti buat rakyat.
“Subsidi dilaksana secara bersasar supaya dana awam sampai kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Anwar turut menjelaskan pengapungan harga ayam dan telur masing-masing menghasilkan penjimatan sebanyak RM1 bilion.
Beliau berkata penyasaran subsidi bersama penstrukturan semula tarif elektrik menyumbang penjimatan berjumlah RM6 bilion, manakala rasionalisasi subsidi diesel menjimatkan RM5 bilion.
Menurutnya lagi, rasionalisasi subsidi RON95 berpotensi menambah penjimatan sehingga RM2.5 bilion, disokong pelaksanaan Budi95 yang membolehkan lebih 10 juta rakyat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Kerajaan juga sedang menambah baik pangkalan data 16.5 juta rakyat yang layak bagi menyalurkan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik bot berdaftar serta lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.
Tema Belanjawan 2026 ialah “Memandu Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat”.
Selain itu, pemilik kenderaan individu, petani dan pekebun kecil turut menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM200.
Berdasarkan kalendar Dewan Rakyat di laman web Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 akan dibahas selama lapan hari di peringkat dasar, diikuti sesi penggulungan menteri pada 29 Oktober hingga 4 November.
Perbahasan peringkat jawatankuasa pula dijadualkan dari 5 hingga 27 November, sebelum dijangka diluluskan Dewan Rakyat.
Ikuti Kami Di: