Press "Enter" to skip to content

Tabung Haji sasar lebih separuh umat Islam Malaysia miliki akaun TH penghujung tahun depan

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) meletakkan sasaran lebih separuh daripada umat Islam di Malaysia memiliki akaun TH pada penghujung tahun depan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, 

setakat Ogos 2023, lebih 45 peratus daripada keseluruhan 18 juta umat Islam di Malaysia telah membuka akaun TH.

Menurutnya, dahulu TH hanya mempunyai 1,281 pendeposit dengan nilai tabungan RM46,610 sahaja, namun kini jumlah keseluruhan simpanan melebihi RM89 billion. 

“Ia merupakan antara tertinggi sejak penubuhannya 60 tahun lalu,” katanya ketika berucap di majlis sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH ke-60 di Menara TH pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan, TH berjaya berkembang setelah melalui pelbagai perubahan dan kini ia dikenali sebagai institusi Islam dengan pengalaman luas dalam pengurusan haji. 

Tambahnya, TH juga menjadi inspirasi kepada negara Islam lain dalam melaksanakan pentadbiran dana patuh syariah. 

“TH akan terus bekerja keras untuk mencapai sasaran saiz dana RM100 bilion menjelang tahun 2024,” katanya. 

Pada masa sama, beliau memberitahu, TH telah meningkatkan saiz dana sebanyak RM5.7 bilion daripada RM83.3 bilion kepada RM89 bilion terhadap Pelan Transformasi Strategik atau dikenali sebagai HIJRAH24.

Tambah Mohd Na’im, sehingga kini TH telah menguruskan 1.5 juta jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam yang kelima, di samping membelanjakan RM2.5 bilion Bantuan Kewangan Haji bagi meringankan beban bakal haji negara, sejak 2001. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *