PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar rakyat Malaysia mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam pertuturan dengan menyampaikan kebenaran, jujur serta menjauhi fitnah.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, kestabilan dan keharmonian negara akan tergugat sekiranya menggunakan perkataan kurang elok ketika berbicara bicara atau sewaktu menulis di media sosial dengan penggunaan kata-kata berbentuk cacian, nista dan dusta serta fitnah.
“Marilah kita mengambil iktibar daripada kejatuhan serta keruntuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat budaya fitnah yang mendominasi dan membarah dalam kehidupan bangsanya,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Khamis.
Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah selepas kewafatan junjungan besar Nabi Muhammad SAW, fenomena fitnah telah membawa kepada peristiwa amat tragis dalam sejarah Islam menerusi pembunuhan khalifah ketiga, Saidina Uthman Affan.
Menurut Al-Sultan Abdullah, fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung, malah menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara.
“Oleh itu Allah SWT, mengingatkan umat Islam untuk menghindari serta menjauhi diri daripada orang yang berbohong.
“Ajaran Islam dibawa Rasulullah SAW mencakupi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk dalam mengemudi dan memerintah sebuah negara yang penuh rencam, pelbagai puak dan agama serta spektrum kedudukan sosio-ekonomi yang berbeza-beza,” titah Seri Paduka.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, sirah Rasulullah SAW dalam lipatan sejarah juga mencerminkan kepakaran baginda dalam mentadbir sebuah negara.
Titah Seri Paduka, hikmahnya, Rasulullah SAW telah berjaya membawa manusia keluar dari kejahilan dan kelalaian sehingga berjaya membina generasi yang cemerlang.
“Rasulullah SAW telah membawa syiar Islam untuk terus bangkit dan berkembang di benua Timur Tengah sehingga menjadi pencetus kemajuan dan kejayaan masyarakat di benua lain yang sedang dalam kegelapan ketika itu.
“Masyarakat dunia memperlihatkan dengan contoh akhlak terpuji Rasulullah SAW sebagai penanda aras nilai insani,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sekiranya rakyat berpegang kepada tuntutan ALLAH SWT dan ajaran Rasulullah SAW maka maka sebuah negara bertamadun dapat dibangunkan.
Be First to Comment