Press "Enter" to skip to content

Amirudin umum cuti peristiwa pada Isnin ini jika gabungan PH-BN menang PRN di Selangor

PUTRAJAYA – Cuti peristiwa akan diumumkan untuk seluruh rakyat Selangor pada Isnin, 14 Ogos sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PRN ini merupakan detik paling penting dalam sejarah negeri dalam menentukan hala tuju dan masa depan Selangor untuk tempoh lima tahun. 

“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan PRN ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti mereka tiada idea baharu dan perancangan untuk negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Amirudin berkata demikian semasa menyampaikan Amanat Khas Kepada Rakyat Selangor yang disiarkan melalui Facebook milik beliau pada Jumaat.  

Beliau berkata, dalam jangka masa 100 hari selepas kemenangan PRN, Kerajaan Perpaduan Selangor berjanji akan melaksanakan lima perkara yang diikhtiarkan dalam Tawaran Kita Selangor.

Antaranya, inisiatif untuk golongan wanita bekerja dengan pemberian RM1,000 kepada 5,000 wanita bagi mengurangkan kos penjagaan anak-anak dan melaksanakan pengecualian cukai pintu untuk rumah kampung, rumah kos rendah.

Amirudin menambah, seramai 1,000 mahasiswa Selangor akan menerima baucar buku Kita Selangor bernilai RM200; kenaikan elaun imam; bilal dan siak serta seramai 500 petani, pesawah dan nelayan akan menerima Insentif Pertanian dan Perikanan Kita Selangor berjumlah RM1,000. 

“Justeru saya dengan penuh tawaduk memohon seluruh rakyat Negeri Selangor untuk memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini agar kita boleh meneruskan kestabilan, kecemerlangan dan usaha bakti,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, gabungan PH dan BN melancarkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang mengandungi lima teras utama sebagai tawaran kepada rakyat Selangor sekiranya diberi mandat untuk menerajui negeri ini. 

Lima teras meliputi pelbagai aspek iaitu Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi;  Agama Sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor; Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap dan Efisien; Pembangunan Mampan, Selesa dan Berdaya Huni; dan Selangor Negeri Penyayang Yang Membela Kepentingan Rakyat.

Sebanyak 3,747,057 pengundi berdaftar akan mengundi pada Sabtu bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri daripada 147 calon yang bertanding dalam PRN Selangor, yang berlangsung serentak dengan PRN di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *