Press "Enter" to skip to content

Anwar bakal catat sejarah Perdana Menteri Malaysia pertama beri khutbah Jumaat di masjid New York, Amerika Syarikat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal melakar sejarah apabila beliau dijadual untuk menyampaikan khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), di sini, pada Jumaat ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan merupakan pemimpin asing pertama diberi penghormatan sedemikian oleh masjid pertama di bandar itu yang dibuka pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebelum ini media tempatan melaporkan Anwar dijangka tiba di New York pada Rabu dan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-78 yang bermula hari ini hingga 26 September di New York. 

Pada penampilan pertama beliau di perhimpunan tahunan pemimpin dunia itu, Anwar akan berkongsikan usaha Malaysia dalam menangani krisis iklim dan tindakan yang diambil bagi mencapai Agenda 2030.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pada perhimpunan berkenaan Anwar juga akan berkongsi mengenai kerangka Malaysia MADANI. 

“Perkara ini amat penting untuk kita memberitahu kepada dunia mengenainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media sewaktu berada di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. 

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Nazri Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Menurut Zambry, Perdana Menteri yang dijadual tiba di AS pada Rabu akan menyampaikan Kenyataan Negara pada Perbahasan Umum, pada Jumaat.

Anwar akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, beberapa Ahli Parlimen serta pegawai kanan kerajaan.

Beritahu Zambry, perbahasan umum yang bermula hari ini hingga 26 September akan menyaksikan pemimpin negara dan kerajaan dari 157 negara serta 35 menteri menyampaikan Kenyataan Negara mereka di ibu pejabat PBB.

Jelasnya, tema Perbahasan Umum tahun ini ialah “Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all”.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu bahawa kehadiran Anwar di UNGA dijangka mendapat liputan penting. 

“Ini kerana ramai pemimpin negara lain yang ditemui sebelum ini menyatakan bahawa mereka menantikan ucapan Anwar kerana pengalaman dan kepimpinannya.

“Perdana Menteri juga akan bercakap mengenai konflik global termasuk krisis Ukraine serta isu Palestin dan Myanmar yang berlarutan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *