Press "Enter" to skip to content

Anwar, Erdogan kutuk sekeras-kerasnya tindakan bakar al-Quran

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengutuk dan menyelar tindakan membakar al-Quran baru-baru ini dan wacana populis yang menghasut ucapan kebencian terhadap Islam.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu selepas pertemuan pemimpin itu di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78. 

Dalam kenyataan itu, kedua-kedua pemimpin berkenaan turut menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan ‘bentuk perkauman baharu’ yang bercirikan xenofobia, profil negatif, dan stereotaip terhadap umat Islam.

Anwar dan Erdogan menzahirkan kebimbangan mendalam mengenai “trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka yang telah mencapai tahap yang membimbangkan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Eropah,” Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, kedua-dua mereka menyambut baik penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai ‘Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia’.

Mereka juga menyambut baik perbahasan segera semasa sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan “peningkatan yang membimbangkan” dalam tindakan kebencian agama yang dirancang dan dilakukan secara terbuka seperti yang dimanifestasikan oleh penghinaan berulang-ulang terhadap al-Quran dan penerimaan resolusi Hak Asasi Manusia PBB yang mendefinisikan pembakaran kitab suci sebagai kebencian agama.

Pada masa sama, Anwar dan Erdogan mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung 77/318 mengenai Mempromosikan Dialog Antara Agama dan Antara Budaya serta Toleransi dalam Menentang Ucapan Kebencian yang diterima pakai pada 25 Julai.

Kata kenyataan itu, mereka juga menekankan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi, dan xenofobia merupakan ancaman terhadap keamanan dan menghasut budaya keganasan.

Pemimpin-pemimpin itu turut menyeru semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, untuk meningkatkan usaha menangani diskriminasi, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian mengikut prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *