Press "Enter" to skip to content

Anwar, menteri lain jadi saksi pertukaran MoU bernilai RM19.84 bilion

PUTRAJAYA – Pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat-syarikat Malaysia dan China telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja sehari beliau ke Nanning, China.

MoU berkenaan turut disaksikan beberapa menteri Malaysia lain antaranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang menunjukkan MoU pertama dengan nilai pelaburan dianggar RM15 bilion (AS$5.2 bilion) adalah antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment. 

Kedua-dua syarikat berkenaan akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji janakuasa sisa kepada tenaga terutamanya di Malaysia.

Perkongsian itu juga turut memaklumkan bahawa MoU kedua bernilai kira-kira RM2.34 bilion (AS$500 juta) pula adalah pertukaran antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group.

MoU itu melibatkan kerjasama pergudangan dan logistik antara kedua-dua syarikat dalam menyokong Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu rantau ini bagi menggalakkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Guangxi dan Malaysia.

Sementara itu, sebanyak RM2.5 bilion dianggarkan untuk MoU terakhir iaitu oleh Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

MoU ini adalah mengenai kerjasama membina pusat perdagangan dan pengedaran minyak sawit ditapis dan lelemak di Qinzhou, China dengan anggaran jumlah urus niaga tahunan sebanyak 500,000 tan.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *