PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.
Mohamad berkata, langkah tersebut termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan di kawasan luar bandar.
“Memandangkan margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya dalam sidang media khas pada Isnin.
Dalam pada itu, Mohamad memberitahu kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Oktober kepada Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kg.
“Tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terhad,” katanya.
Be First to Comment