Press "Enter" to skip to content

Anwar terima kunjungan hormat Timbalan Speaker Parlimen Filipina

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina, Gloria Macapagal Arroyo di bangunan Parlimen.

Arroyo dan delegasinya tiba di Parlimen pada jam 11.50 pagi dan disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya, Ramkarpal Singh.

Anwar dan Arroyo yang juga Presiden Persidangan Antarabangsa Mengenai Kependudukan dan Pembangunan (ICPD) telah membincangkan isu semasa termasuk mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, pemberita menemui Azalina selepas berlangsung pertemuan selama 30 minit itu berkata, Arroyo menyatakan kekaguman mereka terhadap kerajaan perpaduan yang mengambil langkah segera dalam menguatkuasakan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

“Mereka kagum dengan kecepatan perubahan dasar dibuat dan semuanya kerana Perdana Menteri melihat ia perlu diubah dan Kerajaan Perpaduan MADANI telah berjaya melakukan. Kerajaan sebelum ni banyak bercakap, berbincang tetapi tidak dapat melaksanakan, tapi kita dapat melaksanakan sebagai satu komitmen kita kepada rakyat,” katanya.

Pada April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

Turut dijelaskan bahawa undang-undang itu menunjukkan bahawa mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun. 

Sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *