Press "Enter" to skip to content

‘DAP terbuka terima sebarang kritikan’

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching

KULAI – DAP terbuka menerima sebarang bentuk pandangan atau cadangan daripada MCA namun bukan kritikan yang menjatuhkan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, parti itu mengalu-alukan dan sedia menerima kritikan membina bukan sahaja MCA tetapi juga mana-mana pihak.

“Bukan dia (MCA) sahaja tetapi ada ahli-ahli Parlimen boleh beri kritikan kontruktif. Bukan bila kita jadi kerajaan tak boleh dikritik. Kami tak pernah cakap bila jadi Jemaah Menteri dan kerajaan, tak boleh dikritik.

“Asalkan kritikan yang membina dan tawar satu solusi yang beri manfaat kepada rakyat jelata, kita alu-alukan asalkan bukan kritikan yang mahu cari gaduh,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Daerah Kulai di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai di sini pada Sabtu.

Nie Ching (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Kulai, pada Sabtu.

Nie Ching (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Kulai, pada Sabtu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang; ADUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kulai (Bahagian Sektor Pengurusan), Mohd Yusof Katmi.

Pada Jumaat, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, MCA akan terus mengkritik Pakatan Harapan (PH) dan DAP walaupun menjadi sebahagian daripada blok Kerajaan Perpaduan.

Menurut Lian Ker, MCA secara khusus akan terus mengkritik sekiranya DAP mungkir janji, bersifat hipokrit, gagal dan berbohong.

Mengulas lanjut, Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, DAP tidak pernah menganggap sudah ‘sempurna’ apabila menjadi kerajaan serta tidak menghalang parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai memberi kritikan.

“Ini bagi membolehkan kerajaan berfungsi dengan baik dan lebih berkesan. Kita ada ahli-ahli Parlimen dalam kalangan PH dan BN, kita tidak ada masalah (dikritik). Rakyat akan buat penilaian,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau berkata, dalam majlis tersebut, seramai 46 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima sumbangan komputer dan lapan pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menerima komputer riba serta wang tunai RM500.

“Saya berharap mereka yang mendapat sumbangan berkenaan akan melanjutkan pengajian mereka sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *