Press "Enter" to skip to content

Tuan Guru Haji Hadi harus hentikan politik ekstrem – Setiausaha Politik PM

Saya menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara sinis mendakwa seolah-olah Kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.

Kenyataan yang dikeluarkan sewaktu Muktamar PAS ke-69 pada 20 Oktober 2023 itu secara jelas menunjukkan bahawa Presiden PAS selaku seorang agamawan tidak mencerminkan nilai sebenar diterapkan Islam.

Seharusnya sebagai seorang agamawan, beliau perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan. Hal ini kerana agama Islam telah tersebar melalui penyatuan manusia yang mempunyai pelbagai latar belakang.

Lantaran itu, saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba.

Sementelahan itu, jangan hanya kerana kita mengenakan kopiah di atas kepala dan mengemudi Parti yang tertera nama Islam, kita merasakan seolah-olah pihak lain tidak suci mahupun tidak ‘Islam’ sepenuhnya.

Lantaran itu, saya ingin mengajak Haji Hadi untuk mengkaji semula pandangan beliau dengan menghayati Firman Allah Swt dalam Surah An-Najm, 53:32,

“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa..”

Demikian itu, hanya Allah SWT yang layak untuk menilai kesucian seseorang. Sebagai agamawan, beliau sepatutnya memahami lebih mendalam perihal ini. Oleh itu, saya berharap hal ini akan menjadi pengajaran kepada semua untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi dengan kita.

Ahmad Farhan Fauzi
Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *