Sepanjang tiga hari kebelakangan ini, pemimpin daripada dua negara yang sedang pesat membangun – kedua-duanya dibentuk daripada gabungan monarki, dianugerahi garis pantai yang luas serta sumber minyak yang berharga, satu beriklim tropika dan satu lagi di padang pasir – bertemu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengukuhkan hubungan dua hala, perdagangan dan ekonomi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru selesai melaksanakan lawatan rasmi keduanya ke UAE, yang menonjol kerana ia merupakan kunjungan antarabangsa sulungnya sebagai Pengerusi ASEAN, merangkap lawatan pertamanya bagi tahun 2025.
Pertemuan-pertemuan ini menzahirkan kepentingan kerjasama ekonomi sebagai tonggak dalam memperdalam hubungan dua hala Malaysia, sebuah negara dagangan aktif, dengan UAE, yang sejak sepuluh tahun lalu sedang giat mempelbagaikan ekonominya di rantau kaya bahan api fosil.

Salah satu pencapaian utama sepanjang lawatan ini adalah termeterainya Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA), yakni FTA pertama Malaysia bersama negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Perjanjian tersebut bukanlah semata-mata formaliti di atas kertas, kerana ia menawarkan akses bebas cukai segera kepada 6,331 garis tarif produk dan ruang untuk diluaskan lagi. Hal ini akan memberi manfaat besar kepada eksport Malaysia, termasuk minyak sawit mentah, bahan kimia, plastik, elektronik, barangan perhiasan, produk petroleum, barang berasaskan getah dan makanan terproses dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
Selain itu, Bab Islamik dalam CEPA ini memberi laluan kepada pengukuhan sektor halal, kewangan Islam, pengembangan modal insan, serta ekonomi digital Islam. Seterusnya, ia turut menyuntik semangat baharu terhadap aliran data merentas sempadan, e-dagang, pembangunan infrastruktur digital, teknologi hijau dan industri pembuatan.
Fokus utama ini diyakini akan menggalakkan pertumbuhan kukuh dalam perdagangan dua hala, di samping memperluas peluang pelaburan, dengan memberi perhatian khusus kepada PKS. Usaha ini seterusnya dijangka membuka lebih banyak ruang pekerjaan selain menjadikan pasaran UAE lebih mudah diakses.
Malah, perjanjian ini juga menjadi landasan kukuh bagi Malaysia untuk rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC (MGFTA) yang dirancang bermula pada awal 2025.

Lebih signifikan, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Alsuwaidi di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI). Bagi saya, langkah ini sangat penting kerana ia mengukuhkan keazaman bersama untuk memanfaatkan teknologi termaju bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat.
Memandangkan bidang pengkomputeran, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat, Malaysia harus merebut peluang untuk bekerjasama dengan UAE, sebuah negara yang memiliki visi jangka panjang dalam teknologi.
Inisiatif ini menegaskan penggunaan AI bukan sahaja untuk keuntungan perniagaan atau peningkatan kecekapan, tetapi juga untuk menyumbang kepada kesejahteraan umum, memelihara keselamatan masyarakat di samping memperkukuh kedudukan kita dalam rantaian nilai teknologi global.
Kerjasama ini diperkuat lagi dengan persetujuan kedua-dua pihak untuk memanfaatkan platform seperti Forum Ekonomi ASEAN-GCC, yang berpotensi menyatukan sektor awam dan swasta dalam bidang AI bagi menghadapi cabaran global yang semakin rumit di era pasca-normal ini.
Penglibatan Anwar dalam dialog ‘Masa Depan ASEAN yang Saling Berhubung: Menggabungkan Tenaga, Perdagangan & Kemakmuran’ di Minggu Kemampanan Abu Dhabi (ADSW) 2025 menjadi bukti komitmen kerajaan MADANI untuk bukan sekadar menambah kemakmuran rakyat, malah melakukannya dengan menitikberatkan kelestarian alam sekitar dan iklim.
Perkara paling mustahak yang perlu diingat ialah kesungguhan politik di peringkat tertinggi dan pelaburan dalam teknologi hijau adalah elemen kritikal bagi menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara Malaysia serta dasar-dasar lain yang dirangka demi kemampanan negara pada masa hadapan.

Selari dengan itu, pertemuan Perdana Menteri dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, telah mencapai kata sepakat untuk memperbaharui kerjasama merangkumi bidang tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data.
Ini jelas mencerminkan minat Abu Dhabi yang mendalam untuk mengukuhkan hubungan dengan ASEAN, dibuktikan menerusi statusnya sebagai Rakan Dialog Sektoral Pertama ASEAN dari GCC dan pelaksanaan CEP UAE-Indonesia pada September 2023.
Ringkasnya, pentas telah disediakan untuk hubungan GCC-ASEAN terus melonjak dalam kerjasama pelbagai hala dan diplomasi dua hala yang sentiasa didorong kepentingan nasional.
Walau sebaik mana pun perancangan, kejayaan diplomasi sangat bersandar kepada individu-individu yang menzahirkannya, membina kepercayaan dan persefahaman budaya bertahun lamanya, demi memajukan kualiti hidup rakyat dan mengembangkan kesejahteraan ekonomi serta kestabilan politik ke seluruh pelosok dunia melalui instrumen berbilang hala serta dua hala.

Tanpa ragu, lawatan terkini Perdana Menteri ke UAE menjadi pemangkin kepada hasrat Putrajaya selaku Pengerusi ASEAN 2025 dalam mempercepat integrasi ekonomi rantau serta memposisikan Malaysia sebagai gerbang perniagaan UAE ke ASEAN.
Layanan mesra oleh para pemimpin tertinggi, pembuat dasar, pengurus dana kekayaan negara dan tokoh korporat UAE terhadap Anwar menandakan potensi positif bagi keberhasilan segala perjanjian dan persefahaman yang dicapai.
Bersama pelbagai inisiatif ASEAN-GCC yang akan datang, lawatan ini menyediakan asas teguh bagi perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan dan bakal menjadi contoh teladan buat platform kolaborasi antara wilayah.
Ditulis oleh Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah
Pengerusi, ISIS Malaysia
15 Januari 2025
Be First to Comment