PUTRAJAYA – Kerajaan memperkenalkan dasar Ekonomi MADANI bagi menggantikan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) kerana ia memiliki kerangka pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan mengambil kira perkembangan situasi ekonomi semasa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, WKB 2030 yang diperkenal sebelum ini tidak menekankan dan mengambil kira mengenai soal tata kelola serta permasalahan semasa negara.
Katanya, WKB 2030 itu hanya meliputi kerangka global, namun ia mempunyai kelemahan-kelemahan seperti tidak memberi penekanan kepada masalah semasa termasuk dalam isu kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat.
“WKB 2030 juga tidak membangkitkan mengenai isu-isu umpamanya apakah yang kita warisi, berapa banyak hutang, defisit yang kerajaan sekarang tanggung. Oleh itu, perancangan sekarang perlu mengambil kira masalah-masalah tersebut.
“Malaysia pada masa depan di kalangan generasi masa depan, bila merangka apa-apa dasar jangan hanya berpuas hati dengan istilah-istilah yang memukau daripada acuan barat tetapi ada kekuatan untuk memberikan takrifan dan nilai tempatan yang berakar kepada kefahaman negara dan akhlak di negara kita,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai perbezaan Ekonomi MADANI dan WKB 2030 menurut saranan Bank Dunia.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara kini berhadapan dengan dengan situasi yang tidak terjangka, bertentangan dan kadang-kala berlaku dalam keadaan permasalahan serentak.
Sehubungan dengan itu, beliau menambah, Ekonomi MADANI yang diperkenal adalah kerangka bertunjangkan kemampanan ekonomi dan pembangunan fiskal dan diperluaskan dengan isu nilai perpaduan ihsan yang tidak ditekan seperti dalam WKB 2030.
“Ia bukan sahaja kerangka dasar yang umum tetapi mengambil kira perkembangan ekonomi semasa termasuk Kajian Separuh Penggal RMK12, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) yang dilancarkan tahun ini.
“Dasar ini dianggap lebih jelas, ada clarity menjadi panduan kepada sektor kerajaan, jentera kerajaan dan sektor swasta dan akhirnya Ekonomi MADANI dengan tegas mempunyai kerangka pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat utama,” tambahnya.
Be First to Comment