PUTRAJAYA – Bagi mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi dan liputan lebih bersasar dalam minyak sawit malaysia, industri berkenaan digalakkan meneroka serta memperluaskan perniagaan ke pasaran khusus.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Siti Aminah Aching berkata, syarikat Malaysia digalakkan untuk mengeksport barangan siap berbanding dengan komoditi minyak sawit.
“Cabaran kepada sektor hiliran sawit adalah berpunca daripada pelaburan dan pertumbuhan peringkat hiliran yang perlahan.
“Negara menghadapi pelbagai rintangan bagi menarik minat pelaburan dan teknologi bagi pembangunan produk hiliran tempatan sektor sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi pada sidang khas Dewan Negara di Parlimen, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Siti Aminah berkata, bagi menggiatkan peralihan kepada aktiviti bernilai tinggi dan merebut peluang ekonomi kitaran, kerajaan telah merangka inisiatif iaitu meluaskan pembangunan produk berorientasikan pasaran seperti produk oleokimia dan biobahan api berprestasi khusus, makanan dan ramuan fungsian.
Jelasnya, kerajaan turut mempergiat usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mempelbagaikan jenis minyak sawit dan minyak isirung sawit bernilai tinggi.
“Ia juga bertujuan untuk mengambil peluang ke atas ekonomi kitaran melalui pendekatan buangan sifar bagi menjana nilai tambah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sebanyak 3.78 juta tan minyak sawit mentah (MSM) dengan nilai RM19.77 bilion telah dieksport pada 2022.
Siti Aminah memaklumkan, kksport produk berasaskan sawit lain yang terdiri daripada minyak sawit diproses, isirung minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit, produk sawit lain dan hampas isirung sawit adalah sebanyak 22.75 juta tan dengan nilai RM118.12 bilion bagi tempoh yang sama.
“Bagi komoditi getah, kerajaan terus berusaha memastikan industri getah berkembang menerusi dasar serta program berimpak tinggi yang diperkenalkan termasuk meningkatkan kelestarian industri getah secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai isu harga getah rendah. Katanya, kerajaan terus giat membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah di pasaran, katanya.
Jelasnya, kerajaan berusaha untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah serta pengeluaran getah negara dengan melaksanakan strategi jangka masa panjang seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG); Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET); dan Program Insentif Pengeluaran Getah (IPL).
“Sebagaimana sedia maklum, bermula dari 1 Jan, 2023 kerajaan telah menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70.
“Sehingga Ogos 2023, pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 217,705 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM474.54 juta. Program IPG ini telah dilaksanakan bermula September 2015,” katanya.
Be First to Comment