PUTRAJAYA – Selepas mengadakan lawatan kerja empat hari ke New York, Amerika Syarikat (AS) bermula dari 20 hingga 24 September, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di tanah air pada Selasa.
Pesawat yang membawa Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5 petang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta para penyokong menyambut ketibaan Anwar serta delegasi.
Sebelum ini, keberangkatan Anwar ke AS adalah untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.
Lawatan berkenaan telah membuahkan hasil apabila usaha menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke Malaysia melalui pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi negara itu.
Selama empat hari berada di sana, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah mengadakan pertemuan dan berinteraksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500 termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhillips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.
Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah US$40 trilion, Anwar memberi komitmen kerajaan untuk memastikan suasana pelaburan yang kondusif.
Pada masa sama, menerusi lawatan itu Lawatan itu Anwar juga berpeluang untuk berkongsi dasar dan aspirasi Malaysia terkait hubungan antarabangsa.
Be First to Comment