Press "Enter" to skip to content

KKD cadang wujudkan pakej pelan data lebih murah untuk penghantar p-hailing

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi (telco) dalam meneliti dan mewujudkan pakej pelan data lebih murah khusus untuk golongan penghantar p-hailing.

Menurut menterinya, Fahmi Fadzil, keputusan perbincangan mengenai pakej tersebut bakal diumumkan dalam tempoh masa terdekat sekiranya ia berjalan lancar. 

Beliau berkata, golongan yang terlibat dalam ekonomi gig termasuklah penghantar makanan. 

“Ramai tertanya-tanya apa kerajaan boleh lakukan untuk bantu lebih ramai rakan (yang hilang kerja tetap) bagi turut sama terlibat dalam bidang ini.

“Oleh itu, saya sedang bincang dengan beberapa syarikat telco untuk mencari jalan dalam membantu golongan berkenaan dengan menyediakan pakej yang lebih murah. Kalau semua berjalan lancar, tidak lama lagi akan kita umumkan (pakej khas),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai tetamu kehormat pratonton eksklusif siri mini #CedokLife terbitan secara kerjasama Grab Malaysia dan platform penstriman dalam talian iQIYI Malaysia.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, KKD dalam perbincangan dengan syarikat platform penstriman untuk meneliti undang-undang yang memberi lebih banyak peluang kepada penerbit dan industri filem tempatan.

Beliau memberitahu, perkara itu dilakukan adalah untuk memastikan platform penstriman dalam talian menghasilkan kandungan buatan dalam negara dengan peratusan tertentu.

“Kalau di Australia sedang dibincangkan perkara ini dan beberapa platform telah ada bayangan berapa peratus daripada kandungan yang wajib dihasilkan, jadi kita sedang meneliti perkara ini kerana ia dapat memberi peluang lebih banyak kepada penerbit dan industri filem,” ujarnya. 

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *