PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) pemberian lesen borong kepada pengusaha restoran untuk membolehkan pembelian beras putih import (BPI) pada harga borong daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM melalui Pejabat Kawalselia Padi dan Beras akan mengadakan pertemuan bersama pemegang taruh berhubung perincian SOP pemberian lesen borong itu.
“Pengusaha restoran akan diberikan harga borong bagi membeli BPI agar mereka tidak tertumpu kepada beras putih tempatan (BPT) sahaja untuk penjualan makanan di restoran dan juga sebagai langkah jangka pendek mengatasi kekurangan BPT dalam pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Pengairan dan Saliran ke-25 pada Selasa.
KPKM sebelum ini telah memutuskan akan memberikan lesen borong kepada pengusaha restoran supaya mereka boleh membeli BPI pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Bernas.
Bagaimanapun, persatuan pengusaha restoran perlu mengemukakan permohonan kepada KPKM untuk mendapatkan lesen borong terbabit.
Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta kerajaan memperincikan segera SOP berhubung lesen borong untuk diberikan kepada pengusaha restoran.
Beritahu Presma, ia disebabkan kesukaran mendapatkan beras putih tempatan (BPT), menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada BPI.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjawab mengenai isu monopoli beras. Katanya, kerajaan memerlukan alasan kukuh dan tempoh tertentu sekiranya hendak memecahkan monopoli beras negara yang dikuasai Bernas kerana terikat dengan perjanjian bagi tempoh 10 tahun, iaitu dari 11 Jan 2021 hingga 10 Jan 2031.
Mohamad berkata, jika mahu lakukan rombakan, ia memerlukan perbincangan dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan juga Jabatan Perdana Menteri.
Jelasnya, perkara tersebut perlu dilakukan kerana melibatkan isu makanan dan keterjaminan makanan yang perlu ditangani bersama.
“Oleh itu, hal memecahkan monopoli itu adalah perkara yang perlu diambil perhatian, pada masa sama soal kelestarian juga (perlu) diambil perhatian. Bagaimanapun dalam hal yang begitu penting ini, saya yakin Kabinet boleh buat cadangan atau perubahan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut diminta untuk mengulas mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh agar penjualan beras tempatan yang disubsidi kerajaan dihadkan kepada rakyat Malaysia sahaja dan tidak dijual kepada warga asing.
Mohamad berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia melibatkan soal kemanusiaan dan kebajikan.
“Kita tahu warga asing yang datang ke sini (Malaysia) antaranya kita yang panggil mereka (untuk bekerja) terutama sekali dalam sektor yang memerlukan tenaga seperti perladangan, pembinaan dan jadi pengawal keselamatan. Bagi saya ia soal kemanusiaan, mereka perlu makan dan pertimbangan ini perlu.
“Dalam suasana begini, jangan kita gopoh sebab kalau pekerja kita (sendiri) berada di luar negara dan mereka tidak boleh dapat beras murah untuk makan, kita akan terasa. Jadi ini soal kemanusiaan, saya rasa perlu mereka terus diberi izin untuk membeli beras di Malaysia ini termasuk beras tempatan,” katanya.
Be First to Comment