PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi memberi keutamaan terhadap kadar subsidi harga padi dan sistem pengairan di kawasan sawah padi dalam Belanjawan 2024.
Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, perkara tersebut merupakan antara isu yang akan diberi perhatian dan ia merupakan antara input yang diperoleh melalui Sesi Dialog Belanjawan 2024.
Sesi dialog ini telah dihadiri oleh lebih 100 pemain industri antaranya pengusaha tanaman padi, agensi kerajaan dan swasta, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Mereka (yang hadir) minta perkara ini diteliti untuk bantu mereka usahakan tanaman padi dengan baik dan tingkatkan pengeluaran beras putih pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 bagi sektor padi dan beras negara.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu peserta dialog berkenaan turut meminta kerajaan memantau kemungkinan berlaku peningkatan harga baja dan racun susulan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik.
Katanya, kerajaan bersetuju menaikkan kadar SSHP berkuat kuasa 9 Ogos lepas, selepas kali terakhir dibuat kira-kira 25 tahun lalu yang bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bekalan beras putih tempatan adalah mencukupi sehingga Aidilfitri tahun depan.
Jelasnya, jaminan itu dapat diberikan susulan langkah intervensi kerajaan dengan melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan bagi meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran.
Be First to Comment