Press "Enter" to skip to content

KPKM harap dapat berbincang dengan India untuk teruskan eksport beras putih ke Malaysia

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berharap dapat mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani India dengan kadar segera untuk mencari solusi terhadap masalah sekatan eksport beras putih. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, KPKM akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan India untuk meneruskan pengeksportan beras putih mereka ke negara ini.

“Di peringkat kementerian sekarang, kita sedang ‘berhubung’ kalau dapat tarikh, barulah kita dapat pergi ke sana sebab kita nak berbincang secara G2G. Kalau boleh dalam minggu ni dia beri tarikh pun, kita boleh pergi.

“Kita akan minta mereka meneruskan eksport beras putih ke Malaysia. Itu harapan kita sebab kalau mereka menyekat beras putih secara mengejut, ia akan membawa kesan kenaikan harga beras di Malaysia,” katanya kepada media tempatan selepas Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sebuah hotel di sini, pada Ahad. 

Pada Julai lalu, India dilaporkan melarang eksport beras putih bukan basmati untuk mengekang kenaikan harga beras dalam pasaran domestik susulan kekurangan bekalan disebabkan hujan lebat yang telah menjejaskan tanaman itu. 

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekatan tersebut telah menyebabkan harga beras eksport di negara ini meningkat secara mendadak. 

Jelasnya, keadaan itu mengakibatkan kebanyakan pengguna beralih kepada beras tempatan hingga berlaku sedikit kekurangan di beberapa tempat.

“Tetapi kita atasi sekarang dengan tuaian yang berlaku di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang akan dikeluarkan dalam masa tidak sampai sebulan ini, beras akan berada di pasaran dan sekarang pun kita ada cuba untuk tampung mana-mana yang berlaku kekurangan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *