PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang untuk mempertimbangkan laluan khas ke politeknik dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan Maahad Tahfiz al-Quran.
Menurut menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pertimbangan itu bakal membuka peluang serta laluan lebih besar untuk pelajar jurusan berkenaan mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT.
“Jika sekarang Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada empat program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah, selepas ini pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan yang lebih besar dan pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik di bawah KPT.
“Cadangan itu selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip serta aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai unggul dalam diri untuk disatukan dengan kemahiran terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KPT di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan, KPT kini sedang merangka pelan transformasi politeknik yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini.
Pada masa sama, beliau berkata, terdapat peningkatan sebanyak 20 peratus atau 20,520 kemasukan penuntut ke politeknik bagi program TVET pada tahun ini berbanding 16,962 orang tahun lepas.
Jelasnya, daripada kesemua program TVET yang diuruskan oleh KPT, sebanyak 79.6 peratus daripada tempat yang tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah 144,816 pelajar secara keseluruhan.
“Sekalipun jumlah kemasukan ke program TVET di KPT adalah baik, KPT akan terus merancakkan usaha untuk memaksimumkan kemasukan sekali gus memenuhi tempat dan kapasiti yang sedia ada.
“Ia merangkumi syarat serta akses kemasukan yang dipermudahkan serta laluan khas kemasukan kepada golongan rentan,” ujarnya.
Be First to Comment