PUTRAJAYA – Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengumpulan data secara banci atau kajian kos tinggi adalah penting untuk menggabungjalinkan data untuk mendapatkan statistik yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kesemua kementerian, agensi kerajaan tidak kira persekutuan atau negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan menyimpan data dengan cara berbeza.
Menurutnya, ia termasuk dari segi metodologi, standard, konsep dan definisi kerana bermula dari tahun 2000, penggunaan data agregat sudah menjadi satu kebiasaan.
“Tetapi selepas era tersebut, pembuat dasar memerlukan data yang lebih terperinci. Ini kerana, data agregat mempunyai kelemahan. Maklumat yang tidak terperinci sukar untuk menggambarkan keadaan sebenar.
“Kerajaan kini memerlukan data granular untuk membuat keputusan yang tepat bagi memastikan tiada pembaziran terutamanya dalam keadaan sumber kewangan yang semakin terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Persidangan Statistik Malaysia ke-10 pada Selasa.
Dalam pada itu, Hanifah Hajar berkata, kerajaan melaksanakan program secara bersasar dengan adanya data granular mengandungi maklumat yang spesifik dan terperinci tentang suatu subjek.
Tambah beliau lagi, ia juga meningkatkan kebolehupayaan kerajaan dalam memberi respons kepada krisis dengan berkesan.
Dalam menghadapi era data raya, beliau berkata,
kepesatan revolusi digital berasaskan Internet dan teknologi satelit menuntut sumber teknologi baharu dengan penggunaan pelbagai peralatan, perisian dan kemahiran statistik terkini bagi menghasilkan pelbagai proses kerja yang lebih bersepadu.
“Penyusunan statistik yang komprehensif serta indikator yang berkaitan amat diperlukan oleh kerajaan bagi pengubahsuaian strategi dan inisiatif apabila semakan dasar dibuat.
“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah diberi mandat untuk membangun dan menyelenggara Pangkalan Data Utama (PADU) dengan mengguna pakai sumber data pentadbiran yang tersedia ada di agensi-agensi kerajaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai objektif PADU, beliau berkata, sistem itu diwujudkan adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara yang komprehensif dan ‘real’ atau ‘near real time’ tanpa ketirisan.
Selain itu, beliau memaklumkan ia juga sebagai aset strategik negara bagi pembuatan keputusan utama kerajaan merangkumi menambah baik kedudukan fiskal dan menstruktur semula ekonomi negara.
“PADU akan mengandungi semua profil maklumat individu dan isi rumah seperti biografi, demografi, pekerjaan, pendapatan serta rekod-rekod lain yang berupaya membantu kerajaan menggubal dasar dan memberi bantuan atau subsidi secara bersasar.
“Penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat,” katanya.
Be First to Comment