KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk mewujudkan Kursi Tun Dr Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Allahyarham yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan pada Rabu berkata, usaha serta pengiktirafan itu adalah bagi memberi ruang kepada generasi muda dan penerus untuk menyemangati sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung Dr Ismail khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.
“Semoga lebih banyak penyelidikan dapat diwacanakan dalam pelbagai bidang sosioekonomi, pentadbiran dan kenegaraan dengan adanya kursi ini,” kata beliau.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dr Ismail Abdul Rahman merupakan Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak yang dilantik sebagai Perdana Menteri Kedua Malaysia pada tahun 1970.
Ketika berucap, Anwar turut menekankan ketegasan dan intergriti yang dimiliki oleh Tun Dr. Ismail perlu disemai dalam jiwa golongan muda berikutan mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab penting demi masa depan negara.
“Aspek ini, daripada negarawan Tun Dr. Ismail yang perlu kita ikuti, termasuk integriti beliau dalam berpolitik.
“Ini penting untuk anak muda terpahat dengan prinsip yang sama untuk tangani kerosakan sosial, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dengan urus tatakelola yang baik,” katanya.
Kerajaan pada Rabu menganjurkan Majlis Memperingati Negarawan Tun Dr Ismail Al-Haj: Tonggak Perpaduan Negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Dataran Merdeka.
Majlis yang dihadiri kira-kira 15,000 orang itu turut dihadiri anak Allahyarham Tun Dr Ismail, Tawfiq.
Be First to Comment