PUTRAJAYA – Lebih RM5 juta dibelanjakan untuk pembinaan rumah baharu serta baik pulih veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kerajaan telah meluluskan 44 pembinaan rumah baharu anggota tentera di seluruh negara.
“Sebahagian daripada pembiayaan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan sebahagian lagi melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan kos pembinaan bagi di Semenanjung RM85,000 manakala Sabah dan Sarawak RM95,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri penyerahan rumah Program Inisiatif Perumahan JHEV di Kampung Tanjung Bowang, Singai, Sarawak.
Sementara itu Kementerian Pertahanan dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata kriteria pemilihan Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM adalah terbuka kepada veteran atau balu yang berpendapatan isi rumah di bawah jadual Pendapatan Garis Kemiskinan yang telah ditetapkan.
Melalui kuota program ini, veteran ATM akan menerima dua peringkat bantuan iaitu subsidi di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat yang dikawal selia oleh SPNB berjumlah RM20,000 dan bantuan perumahan JHEV ATM berjumlah RM 65,000 untuk Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM75,000.
Be First to Comment