Press "Enter" to skip to content

Malaysia kekal di tangga ke-36 dalam laporan GII, catat peningkatan skor 

PUTRAJAYA – Berdasarkan Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan di tangga ke-36 daripada 132 negara. 

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan, Malaysia mencatatkan peningkatan skor keseluruhan 40.9 berbanding 38.7 pada tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 upper-middle income countries dengan kenaikan satu tangga berbanding 2022. 

“Sementara itu, bagi ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

“Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi dua sub-indikator iaitu High-tech exports dan Creative goods export serta melonjak ke kedudukan pertama bagi sub-indikator Graduates in Science and Engineering. 

“Secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan peningkatan bagi lima daripada tujuh tonggak berbanding 2022 iaitu institutions (29 berbanding 34); Human capital and research (32 berbanding 38); Market sophistications (18 berbanding 26); Business sophistications (36 berbanding 41) dan Knowledge and technology outputs (37 berbanding 39),” katanya kenyataan itu.

Dalam pada itu, MOSTI memberitahu, peningkatan prestasi negara didorong oleh pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII, bawah kementerian itu melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan yang melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan.

Kata kenyataan itu, terdapat beberapa inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh MOSTI untuk memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025. 

Jelasnya, ia sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12. 

“Ia termasuk membantu mendaftarkan harta intelek (IP) bagi mana-mana inovasi berpotensi untuk dikomersialkan termasuk dihasilkan oleh pelajar sekolah; pengubalan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara; penyediaan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan dan mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi,” kata kenyataan itu. 

Pada masa sama, MOSTI turut melihat prestasi Malaysia dalam GII bukan sekadar alat pengukur sebaliknya panduan memberikan gambaran menyeluruh tentang keupayaan inovasi negara. 

Kata kenyataan itu, perkara tersebut penting diberi perhatian kerana ia mendorong dan menyokong proses inovasi termasuk penyelidikan dan pembangunan; keusahawanan; infrastruktur teknologi dan pelbagai bidang yang memerlukan intervensi. 

Tambah kenyataan berkenaan lagi, semua inisiatif berkenaan selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia MADANI untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang 2030.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *