PUTRAJAYA – Malaysia akan tetap dikenali sebagai negara Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) walaupun menjalinkan hubungan perdagangan antarabangsa dengan China dan Amerika Syarikat (AS).
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Malaysia tidak akan pernah sesekali mengubah pendirian malah kedua-dua kuasa besar kekal sebagai pelabur terbesar di negara ini.
Menurutnya, Malaysia wajar memperkukuh hubungan perdagangan dengan China yang semakin maju dalam bidang ekonomi dan teknologi ekoran anjakan paradigma ekonomi ke rantau Asia.
“Sesiapa sahaja yang ingin berniaga dengan kita, kita berniaga tetapi lebih penting apabila kini berlaku gelombang pertukaran ekonomi ke Asia.
“Jika abad ke-19 milik British dan Eropah, abad ke-20 milik Amerika Syarikat dan kini abad ke-21, pertukaran berlaku apabila perkembangan ekonomi menunjukkan Asia merupakan tempatnya.
“Jika Malaysia tidak mengambil kesempatan dengan kebangkitan gelombang ekonomi Asia ini, sememangnya ada yang tidak kena dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media tempatan sempena lawatan rasmi ke Beijing, China.
Dalam pada itu, Johari memaklumkan Malaysia perlu mempunyai hala tuju yang jelas seiring dengan gelombang perubahan ekonomi ke rantau itu susulan negara bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN pada 2025.
Menurutnya, kerjasama dan hubungan diplomatik dengan China membuka peluang kepada Malaysia untuk menetapkan hala tuju dalam menerajui ASEAN.
“Bayangkan apabila kita jadi Pengerusi, apa dan bagaimana hala tuju kita untuk membawa ASEAN kalau kita tidak bercakap tentang kebangkitan Asia dan ekonominya.
“Takkan kita nak cakap soal politik dan peperangan. Bagi saya, apa yang akan kita ketengahkan, perdebatkan dan lakukan bila sampai waktunya pada 2025 itu ialah kita menjurus kepada tujuan perhebat kedudukan rakyat kita dan rantau ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan agenda dan hala tuju itu adalah luhur dan baik.
Oleh yang demikian, Johari berkata, negara harus berkolaborasi dengan China untuk memaksimumkan potensi Malaysia di rantau ini.
Be First to Comment