PUTRAJAYA – Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan berhak untuk bertindak bebas dan tidak sepatutnya dipaksa untuk memilih pihak dalam pertikaian di antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu Malaysia mengekalkan hubungan rapat dengan AS dan China kerana ia bersesuaian dengan dasar semasa ASEAN.
“Idea ini bahawa anda perlu bersama China atau AS. Tidak, mengapa kita harus menderita dan diberitahu apa yang perlu dilakukan? Maksud saya, kita mesti sangat bebas sebagai negara merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Sidang Kemuncak Asia Milken Institute 2023 di Singapura menerusi sesi khas bertajuk ‘Perbualan dengan Perdana Menteri Malaysia,’ yang disiarkan secara langsung dalam talian.
Pada masa sama, Anwar turut diajukan soalan mengenai sama ada negara ASEAN lain mungkin kalah kepada Vietnam kerana mengambil sikap berpihak kepada AS.
Anwar berkata, beliau tidak begitu bimbang kerana hubungan Malaysia dengan kerajaan AS, pelabur dan syarikat tetap kuat.
“Saya tidak ramalkan banyak masalah. Presiden Joe Biden memilih untuk melawat Vietnam, baik untuk Vietnam selepas mereka mengalami begitu banyak penderitaan pada masa lalu. Sudah tiba masanya untuk AS memberi perhatian tambahan kepada Vietnam. Saya tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa AS dan Vietnam bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka kepada ‘perkongsian strategik yang menyeluruh,’ tahap diplomatik tertinggi negara Asia Tenggara itu, setanding dengan apa yang dimiliki dengan China, Rusia, India dan Korea Selatan.
Pun demikian, Anwar sebaliknya menyatakan kebimbangannya mengenai perselisihan antara AS-China, dengan mengatakan ASEAN mempunyai peranan untuk dimainkan dengan melibatkan kedua-dua China dan AS.
Beliau merayu agar mereka (AS-China) mengurangkan ketegangan kerana ia memberi kesan kepada negara-negara di rantau ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, sewaktu berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta, blok 10 negara itu meminta kedua-dua China dan AS untuk mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan.
“Saya sebutkan di hadapan Perdana Menteri (China) Li Qiang tentang Laut China Selatan, beliau memberi respons yang sangat positif, memastikan untuk menghormati hak-hak negara dan berunding serta meneruskan rundingan yang berkesan.
“Dan kami juga merayu kepada Naib Presiden Amerika Syarikat (Kamala Harris) untuk cuba dan mengurangkan ketegangan ini kerana ia menjejaskan kami (ASEAN),” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tanggapan bahawa Presiden, Biden dan Presiden, Xi Jinping tidak begitu memberi perhatian kepada ASEAN dengan menghantar wakil mereka kerana kebanyakan negara anggota tidak bersedia untuk memilih pihak, Anwar berkata, dunia memerlukan ASEAN untuk kekal berkecuali.
“ASEAN mesti mengekalkan pemusatan sebagai teras dasar luarnya, untuk terus mengadakan penglibatan berkesan dengan China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Be First to Comment