PUTRAJAYA – Konsep Malaysia MADANI semakin mendapat sambutan daripada masyarakat berikutan langkah penyebaran maklumat itu terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan agensi kerajaan.
Menurut Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Program J-KOM, Cik Kazidi Mohd Zainuddin, penyebaran maklumat itu turut diperluas ke seluruh negara termasuk ke kawasan penempatan Orang Asli
“J-KOM sudah menganjurkan lebih 90 program bersemuka berkonsepkan Malaysia MADANI bermula Februari hingga Ogos tahun ini dalam usaha memberi kefahaman kepada orang ramai.
“Dari segi pemerhatian semasa kita dapati kefahaman dan penerimaan masyarakat makin meningkat terutama sebaran menerusi media sosial,” katanya kepada media tempatan.
Pada masa sama, Cik Kazidi memaklumkan terdapat beberapa cabaran tertentu yang masih perlu ditangani terutama untuk memastikan kefahaman dalam kalangan akar umbi.
Menurutnya, J-KOM akan terus turun ke lapangan bersama-sama rakan strategiknya termasuk Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk pastikan sebaran maklumat lebih menyeluruh.
“Dulu akses adalah media cetak dan elektronik tapi sekarang yang lebih pantas adalah media sosial dan di dalamnya ramai pempengaruh serta berita tak benar yang Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sendiri sentiasa berjuang melawan berita tidak sahih,” katanya.
Dalam pada itu, Cik Kazidi memberitahu J-KOM sedang mengadakan penyelidikan berhubungan kefahaman rakyat mengenai konsep Malaysia MADANI yang dijangka akan siap September ini.
Jelasnya, kajian tersebut akan diguna pakai bagi memperkasakan usaha penyebaran maklumat berhubung konsep Malaysia MADANI kepada masyarakat.
Be First to Comment