Press "Enter" to skip to content

Pembinaan Lapangan Terbang Tioman baharu dibatalkan, selari dengan hasrat kerajaan utamakan kelestarian alam sekitar

PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu secara dasarnya telah bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baharu yang melibatkan 76 peratus kawasan tambakan laut.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu yang melibatkan tambakan di Pulau Tioman ini adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.

“Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara.

“NRECC telah mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.

“Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar,” katanya.

Nik Nazmi turut menambah, walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baharu tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan.

Beliau berkata, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar juga telah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi “Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur”.

“Laporan EIA tersebut telah dipamerkan selama 30 hari bermula daripada 21 Jun 2023 hingga 20 Julai 2023. Orang awam telah mengemukakan ulasan awam daripada 21 Jun 2023 sehingga 4 Ogos 2023 (45 hari).

“Sehingga 4 Ogos 2023, sejumlah 1,412 ulasan awam telah diterima. Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan Lapangan Terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,” katanya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *