Press "Enter" to skip to content

Pengundi muda perlu bijak buat keputusan dalam menentukan masa depan Malaysia – Anwar Ibrahim

KEPALA BATAS – Pengundi muda yang berusia 18 hingga 25 tahun, mempunyai pengaruh kuat dalam mencorakkan politik negara sekali gus berupaya menentukan masa depan dan hala tuju Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ,sehubungan itu golongan muda harus membuat keputusan bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bagi menentukan masa depan negara.

“Sebab itu anak-anak harus fikir untuk menentukan corak politik Malaysia ini, corak yang mana, corak yang aman, merangkul semua kaum, ada dasar ekonomi yang jelas, menarik pelaburan kerana itu masa depan anak-anak.

“Jadi, anak-anak ambil keputusan yang bijak, anda yang tentukan apa yang terbaik untuk negara,” katanya ketika berucap di hadapan 1,500 pelajar pada program Temu Anwar, Bicara Pendidikan MADANI di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, anak-anak muda perlu teguh untuk menghentikan segala hinaan yang melibatkan kaum dan agama, agar amalan hidup sebagai keluarga yang harmoni terus kukuh dalam kalangan rakyat, sekali gus menyelamatkan negara ini.

Perdana Menteri menjelaskan Kerajaan Perpaduan sentiasa bekerja kuat untuk membawa pelaburan asing ke negara ini bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi akan datang.

“Kita kerja keras, bandingkan tiga, empat tahun dahulu, mana ada pelaburan, mana ada perubahan dalam pendidikan seperti ini, mana ada komitmen untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti sekarang.

“Mana ada penyelesaian berpuluh tahun masalah tandas. Sekarang – Allahamdulillah kita miliki kerajaan yang ambil berat mengenai anda,” katanya dengan mendapat tepukan gemuruh pelajar matrikulasi yang hadir.

Pemimpin nombor satu negara itu berkata, beliau mahu buktikan Malaysia mampu menjadi negara gemilang dengan memiliki anak-anak generasi muda selaras dengan konsep MADANI yang diketengahkan kerajaan pimpinannya.

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *