PUTRAJAYA – Kerajaan akan memberi keutamaan dalam memperkembangkan dan mengukuhkan perkongsian awam-swasta (PPP) menerusi sektor penjagaan kesihatan.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, perkara itu dilaksanakan selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang terangkum, mampan dan menggalakkan kesejahteraan sosial.
Dr Zaliha berkata, dalam Kertas Putih ada satu perkara yang ditekankan iaitu pendekatan ‘whole of government and whole of society’ dengan setiap orang memainkan peranan dalam menjadikan penjagaan kesihatan satu agenda nasional.
“Aspirasi itu memerlukan kerjasama dan inovasi merentas sektor awam dan swasta, jadi kami boleh meningkatkan akses dan keberkesanan perkhidmatan penjagaan kesihatan negara secara efektif.
“Dalam hal ini, perkongsian awam-swasta merupakan komponen utama daripada strategi keseluruhan kami terutamanya dalam bidang penyampaian perkhidmatan dan pembinaan kapasiti.
“Pendekatan ini menyasarkan untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan sambil mengoptimumkan peruntukan sumber antara kemudahan awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penandatanganan Usaha Sama antara Sunsuria Healthcare dan Icon Cancer Centre.
Mengulas lanjut, beliau berkata strategi berkenaan menekankan tentang pengukuhan asas dan tadbir urus sistem penjagaan kesihatan dengan menggalakkan penyelidikan, inovasi dan amalan berasaskan bukti.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa pelbagai PPP telah ditubuhkan ketika pandemik COVID-19.
“Kerajaan kini sedang melihat untuk mengembangkan selain mengukuhkan perkongsian ini dalam sektor penjagaan kesihatan terutamanya dalam latihan dan perkhidmatan.
“Saya sedang menanti rangka tindakan yang kita akan tengok macam mana PPP ini kita boleh bekerjasama,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama yang dijalinkan antara Sunsuria Healthcare dan Icon Cancer Centre akan membawa rangkaian perkongsian serta pengetahuan antarabangsa lebih daripada 300 onkologi dan rakan perkongsian industri dalam rawatan kanser selain daripada pendekatan terkini dalam penyelidikan klinikal, teknik rawatan dan ubat-ubatan.
Jelasnya, kerjasama itu secara tidak langsung akan melengkapkan pelan tindakan kementerian untuk menangani kanser, sebagaimana digariskan dalam Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser 2021-2025.
“Harapan saya ialah usaha sama ini akan menjadi satu contoh kepada sektor-sektor lain dan menggalakkan lebih banyak pihak untuk memainkan peranan aktif dalam mewujudkan sebuah negara yang lebih sihat dan bebas kanser,” katanya.
Be First to Comment