PUTRAJAYA – Keperluan pelesenan operasi media sosial yang berkuat kuasa pada 1 Januari akan memudahkan usaha kerajaan dalam proses menegakkan keadilan kepada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah siber.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, kes jenayah seperti penipuan dalam talian sering kali menemui jalan buntu apabila pemilik akaun penyedia perkhidmatan internet tidak dapat dikenal pasti.
“Keperluan pelesenan ini berfungsi sebagai pengawasan bagi mereka yang pernah menjadi mangsa jenayah siber, sekali gus menyumbang kepada keselesaan dan ketenangan fikiran pengguna apabila proses penguatkuasaan menjadi lebih mudah.
“Pemantauan media sosial secara tidak langsung memastikan keadilan yang lebih baik diberikan kepada mana-mana mangsa jenayah siber,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Siraj turut menegaskan bahawa platform media sosial seperti X kini menjadi salah satu platform paling kritikal dalam konteks ancaman jenayah siber.
Ujarnya, ruang komen sering menjadi tempat berlakunya ugutan berunsur jenayah, termasuk ancaman yang boleh membawa kepada keselamatan fizikal dan emosi kepada pengguna.
Sebelum ini, pada 1 Januari 2025, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama telah memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Antara platform tesebut ialah WeChat, Tiktok, Telegram, Instagram, Facebook dan Whatsapp.
MCMC turut mendedahkan X (terdahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google iaitu pengendali YouTube, masih lagi belum mengemukakan permohonan mereka untuk mendapatkan lesen.
X telah memaklumkan kepada MCMC bahawa jumlah pengguna di Malaysia belum mencecah 8 juta di Malaysia manakala Google membangkitkan beberapa perkara mengenai ciri-ciri perkongsian Youtube dan klasifikasi sebagai platform media sosial di bawah Kerangka Perlesenan.
Bagaimanapun, MCMC telah menyatakan bahawa Youtube dan semua penyedia platform lain perlu mematuhi peraturan yang sudah dikuasa kuasa.
Sekiranya mana-mana penyedia perkhidmatan beroperasi tanpa lesen bermula 1 Januari 2025, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 126 AKM 1998.
Jika disabitkan kesalahan, penyedia perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau lima (5) tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan tersebut.
Be First to Comment